.

Selamat Datang ke blog kami. Selamat datang ke blog saya

Isnin, 21 Julai 2014

7 Amalan Sunnah


Tanda-tanda Kiamat

Tanda-tanda Kiamat


Hudzaifah bin As-yad al-Ghifary berkata, Sewaktu kami sedang berbincang, tiba-tiba datang Nabi Muhammad S.A.W kepada kami lalu bertanya, "Apakah yang kamu semua sedang bincangkan.?"
Lalu kami menjawab, "Kami sedang membincangkan tentang hari Kiamat." Sabda Rasulullah S.A.W. "Sesungguhnya kiamat itu tidak akan terjadi sebelum kamu melihat sepuluh tanda:-
  1. Asap 
  2. Dajjal 
  3. Binatang melata di bumi 
  4. Terbitnya matahari sebelah barat 
  5. Turunnya Nabi Isa A.S 
  6. Keluarnya Yakjuj dan Makjuj 
  7. Gerhana di timur 
  8. Gerhana di barat 
  9. Gerhana di jazirah Arab 
  10. Keluarnya api dari kota Yaman menghalau manusia ke tempat pengiringan mereka. 


Asap akan memenuhi timur dan barat, ia akan berlaku selama 40 hari. Apabila orang yang beriman terkena asap itu, ia akan bersin seperti terkena selsema, sementara orang kafir pula keadaannya seperti orang mabuk, asap akan keluar dari hidung, telinga dan dubur mereka. Dajjal maksudnya ialah bahaya besar yang tidak ada bahaya sepertinya sejak Nabi Adam A.S sampai hari kiamat. Dajjal boleh membuat apa sahaja perkara-perkara yang luar biasa. Dia akan mendakwa dirinya Tuhan, sebelah matanya buta dan di antara kedua matanya tertulis perkataan 'Ini adalah orang kafir'.

Binatang melata yang dikenali sebagai Dabatul Ard ini akan keluar di kota Mekah dekat gunung Shafa, ia akan berbicara dengan kata-kata yang fasih dan jelas. Dabatul Ard ini akan membawa tongkat Nabi Musa A.S dan cincin Nabi Sulaiman A.S. Apabila binatang ini memukulkan tongkatnya ke dahi orang yang beriman, maka akan tertulislah di dahi orang itu 'Ini adalah orang yang beriman'. Apabila tongkat itu dipukul ke dahi orang yang kafir, maka akan tertulislah 'Ini adalah orang kafir'. Turunnya Nabi Isa. A.S di negeri Syam di menara putih, beliau akan membunuh dajjal. Kemudian Nabi Isa A.S akan menjalankan syariat Nabi Muhammad S.A.W. Yakjuj dan Makjuj pula akan keluar, mereka ini merupakan dua golongan. Satu golongan kecil dan satu lagi golongan besar. Yakjuj dan Makjuj itu kini berada di belakang bendungan yang dibangunkan oleh Iskandar Zulqarnain. Apabila keluarnya mereka ini, bilangannya tidak terhitung banyaknya, sehingga kalau air laut Thahatiah diminum nescaya tidak akan tinggal walau pun setitik.

Rasulullah S.A.W telah bersabda,
"Hari kiamat itu mempunyai tanda, bermulanya dengan tidak laris jualan di pasar, sedikit sahaja hujan dan begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan. Ghibah menjadi-jadi di merata-rata, memakan riba, banyaknya anak-anak zina, orang kaya diagung-agungkan, orang-orang fasik akan bersuara lantang di masjid, para ahli mungkar lebih banyak menonjol dari ahli haq"


Jika kita perhatikan kini memang benar:
  1. Ghibah merata-rata (memperburuk-burukkan, memfitnah orang juga meleluasa kini) 
  2. Riba meluas tanpa kawalan (shark loan, pinjaman segera, pembelian kereta, rumah dll, bank bersistem riba, termasuk berbagai jenis loan yang "diislamkan" dari luarannya. hatta "study loan" pun) 
  3. Anak zina bertambah (malah pasangan berzina berbangga dengan perbuatan zina dan anak zinanya). 
  4. Orang kaya diagung-agungkan (sampai cium tangan dan merayu) 
  5. Orang fasik bersuara lantang di Masjid (sampaikan pelanggan tetap 4d pun dikhabarkan dilantik sebagai AJK Masjid) 
  6. Ahli mungkar lebih banyak menonjol dari ahli haq (bercakap tentang islam walaupun tanpa ilmu) 

Berkata Ali bin Abi Talib,
Akan datang di suatu masa di mana Islam itu hanya akan tinggal namanya sahaja, agama hanya bentuk sahaja, Al-Qur'an hanya dijadikan bacaan sahaja, mereka mendirikan masjid, sedangkan masjid itu sunyi dari zikir menyebut Asma Allah. Orang-orang yang paling buruk pada zaman itu ialah para ulama, dari mereka akan timbul fitnah dan fitnah itu akan kembali kepada mereka juga. Dan kesemua yang tersebut adalah tanda-tanda hari kiamat."


Jika kita perhatikan:
  1. Semakin ramai umat Islam yang tidak menghargai nikmat agamanya sehingga mengabaikan suruhan dan perintahNya sampaikan mengucap pun ada yang tidak tahu. 
  2. Al Quran hanya untuk alunan merdu serta hiasan dan bukan untuk diamalkan dan dihayati. (Paling sedih ada juga sanggup pula menghina Al Quran). 
  3. Masjid berdiri megah dengan hiasan yang berkilauan hanya untuk pelancongan dan berbangga tidak untuk dimakmurkan. 
  4. Ulama dihina dan difitnah oleh orang yang dianggap ulama juga. 

Sabda Rasulullah S.A.W lagi, "Apabila harta orang kafir yang dihalalkan tanpa perang yang dijadikan pembahagian bergilir, amanat dijadikan seperti harta rampasan, zakat dijadikan seperti pinjaman, belajar lain daripada agama, orang lelaki taat kepada isterinya, menderhakai ibunya, lebih rapat dengan teman dan menjauhkan ayahnya, suara-suara lantang dalam masjid, pemimpin kaum dipilih dari orang yang fasik, orang dimuliakan kerana ditakuti akan tindakan jahat dan aniayanya dan bukan kerana takutkan Allah, maka kesemua itu adalah tanda-tanda kiamat."

Penaklukan Baitulmuqaddis.
Dari Auf b. Malik r.a., katanya, "Rasulullah s. a. w. telah bersabda: "Aku menghitung enam perkara menjelang hari kiamat. "Baginda menyebutkan salah satu di antaranya : Penaklukan Baitulmuqaddis." - Sahih Bukhari, 

Zina bermaharajalela.
."Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang.? - Sahih Muslim

Bermaharajalela alat muzik., tanah runtuh dan perubahan muka.
"Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan muka."Ada yang bertanya kepada Rasulullah; "Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?" Baginda menjawab;"Apabila telah bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita? - Ibnu Majah 

Menghias masjid dan membanggakannya.
"Di antara tanda-tanda telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegah-megahan dalam mendirikan masjid? - Riwayat Nasai. 

Munculnya kekejian, memutuskan kerabat dan hubungan dengan tetangga tidak baik.
"Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan sikap yang buruk dalam tetangga." -Riwayat Ahmad dan Hakim

Ramai orang soleh meninggal dunia.
"Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik dan ahli agama di muka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran. - Riwayat Ahmad 

Orang hina mendapat kedudukan terhormat.
"Di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka' bin Luka? (orang yang bodoh dan hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia" -Riwayat Thabrani

Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja.
"Sesungguhnya diantara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalnya saja." - Riwayat Ahmad 

Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang.Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.
"Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang."

Bulan sabit kelihatan besar.
"Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah menggelembung (membesarnya) bulan sabit." - Riwayat Thabrani - Sahih Muslim

Banyak dusta dan tidak tepat dalam menyampaikan berita.
"Pada akhir zaman akan muncul pembohong-pembohong besar yang datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu dengar dan belum pernah didengar oleh bapa-bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu dan memfitnahmu? - Sahih Muslim 

Banyak saksi palsu dan menyimpan kesaksian yang benar.
"Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu dan disembunyikan kesaksian yang benar" - Riwayat Ahmad 

Negara Arab menjadi padang rumput dan sungai.
"Tidak akan datang hari kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput dan sungai-sungai." 

Gegaran dahsyat hari kiamat 
``Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya. Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya.'' (Al-Zalzalah: 1 dan 2) 
Huraian 
Hidup manusia di muka bumi ini hanyalah bersifat sementara kerana kehidupan di akhirat sana adalah kehidupan yang kekal abadi. Walau bagaimanapun, sebahagian manusia tidak sedar bahawa hidup mereka cuma sementara, lalu mengejar kehidupan dunia umpama mereka akan hidup selamanya. Pada hal hari 
Kiamat akan tiba pada bila-bila masa dan manusia tidak tahu waktu dan ketikanya. Sungguh luar biasa sekali kejadian hari itu, iaitu hari di mana Allah menepati janji-Nya kepada makhluk ciptaan-Nya. Tiada yang dapat memberi pertolongan dan tiada tempat untuk mereka bersembunyi. Pada waktu itu, bumi akan digegarkan dengan gegaran yang amat dahsyat sehingga terbongkar segala isi bumi yang terpendam selama ini. Langit akan terbelah dan gunung akan musnah berhamburan akibat hentaman yang mengerikan itu. Semua planet di setiap galaksi akan berlaga sesama sendiri mengakibatkan alam maya ini hancur sama sekali. Setiap makhluk yang hidup pasti akan mati jua. Begitu juga dengan hayat alam akan berakhir dengan kemusnahan dan kehancuran. 

Ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam surah al-Waqi`ah ayat 4-6 yang bermaksud: ``(Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sesungguh-sungguh goncangan. Dan gunung ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya. Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran.'' 

Begitulah Allah telah membukakan sedikit tabir rahsia-Nya kepada kita mengenai Hari Perjanjian yang sudah pasti menjadi peringatan kepada mereka yang berfikir dan benar-benar berharap keredhaan daripada-Nya. 

PENGAJARAN
Segala apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah benar belaka janganlah disangsikan dan ragu-ragu. Sekiranya kita menghayati apa yang tersirat pada kisah di atas memang kebanyakannya telah berlaku kini. Tak perlu Nostradamus' Prediction untuk kita jadikan panduan atau ikutan seperti orang kafir atau menunggu hasil kajian saintifik tentang amalan dan sunnah Rasullullah s.a.w. Percayalah seyakin-yakinnya dan amalkan


Kesimpulan
Hari kiamat pasti akan tiba, cuma kita tidak mengetahui bila masanya. Alam maya ini akan hancur dengan kemusnahan yang amat dahsyat dan tidak dapat digambarkan oleh pancaindera. Setelah itu bermulalah alam baru, iaitu alam akhirat yang kekal abadi. Kita sebagai manusia perlu sedar bahawa kita adalah milik Allah dan akan kembali kepada-Nya jua. Dengan itu bersedialah menghadapinya dengan amalan-amalan soleh agar mendapat kejayaan hidup di dunia mahupun di akhirat.

Puasa Enam & Beberapa Persoalan Mengenainya

Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, ‘Asyura’ dan enam hari dalam bulan Syawal).

Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam bersabda, Allah subhanahu wata’aala berfirman (dalam hadis Qudsi):

(( كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ… وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ )) رواه مسلم.
Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Sahih Muslim no: 1151] Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.

Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

(( مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Sahih Al-Bukhari no: 2840]

Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Bersempena dengan bulan Syawal ini, artikel ini akan membincangkan tentang puasa sunat ini.


Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.

Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

(( مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ)) رواه مسلم.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].

Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.

Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.

Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal.

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Kerana itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadhan, sedangakan pada bulan lain Allah swt dilupai”.


Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.

Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).

Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.” [Syarah Sahih Muslim 8/56]


Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata:

( أَنَّ رَسُولَ اللهِ r نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ ) رواه مسلم.
Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari no: 1991].


Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.


Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama’ ialah:

1- Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.

Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah swt:

] وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ [ [آل عمران: 133]
Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Aali Imran:133]


2- Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.

Wujud perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Ada dua pendapat ulama’ dalam masalah ini.

Pendapat Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu ‘anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah ra berkata:

( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلا فِي شَعْبَانَ. قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ r) رواه البخاري
Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah saw. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan "kerana sibuk melayani Rasulullah saw" ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.]

Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.

Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”

Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.

Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.

Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (‘ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim 8/22].

قال النووي في شرح مسلم: “وَمَذْهَب مَالِك وَأَبِي حَنِيفَة وَالشَّافِعِيّ وَأَحْمَد وَجَمَاهِير السَّلَف وَالْخَلَف: أَنَّ قَضَاء رَمَضَان فِي حَقّ مَنْ أَفْطَرَ بِعُذْرٍ كَحَيْضٍ وَسَفَرٍ يَجِب عَلَى التَّرَاخِي، وَلا يُشْتَرَط الْمُبَادَرَةُ بِهِ فِي أَوَّل الإِمْكَان.”
Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut].

3- Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam.

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?

Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.

Ada dikalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat: Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma'rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]

Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qadha atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatinya). Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut]

Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid). Wallahu a’lam.

Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama’ mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.

Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw.

Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah saw. Sepatutnyalah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal.

Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.

Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Sebagaimana sabda Nabi saw:

(( إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]

Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah swt ke jalan yang di redhai-Nya serta dapat melaksanakan ibadah puasa enam hari di bulan Syawal ini dengan sempurna. Seterusnya kita dimasukkan ke dalam golongan orang yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Aamin.

5 Kunci Rahsia

Dari Ibnu Umar r.a, dari Nabi SAW baginda bersabda:"Lima kunci perkara ghaib, tidak mengetahuinya melainkan Allah iaitu: 1) Tiada mengetahui apa yang tersimpan di dalam rahim (kandungan perempuan) melainkan Allah. 2) Tiada yang mengetahui apa yang akan terjadi esok hari melainkan Allah. 3) Tiada seorangpun yang mengetahui bila waktunya hujan akan turun melainkan Allah. 4) Tiada seorangpun mengetahui di negeri mana dia akan mati melainkan Allah 5) Tiada yang mengetahui bila kiamat akan terjadi melainkan Allah. (Bukhari)

Huraian :
Pemilik ilmu itu adalah Allah SWT. Tiada sesuatupun yang luput dari pengetahuan-Nya, yang nampak mahu pun yang tersembunyi di mana manusia dan makhluk lainnya tidak diberi ilmu oleh Allah SWT melainkan hanya sedikit sahaja. Ilmu manusia jika dibandingkan dengan ilmu Allah ibarat setitik air dalam lautan. Firman Allah yang bermaksud:" "Katakanlah : kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku meskipun Kami datangkan lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan." (al-Kahfi :109)

MENSYUKURI NIKMAT ALLAH

Saban masa dan ketika  kita menikmati kurniaan ALLAH. Setiap detik dan saat sejak kita dilahirkan hinggalah dewasa ini, kita tidak putus-putus dikurniakan dengan pelbagai nikmat. Lantaran ianya berlaku saban masa dan menjadi sesuatu yang lumrah, lantas kita tidak perasan dan menghiraukannya. Kita seolah-olah terlupa bahawa ia adalah hadiah dan kurniaan ALLAH kepada kita. Begitulah perangai kita yang tak ubah seperti kacang lupakan kulit.  
Sesuap nasi yang kita makan, setiap teguk air yang kita minum, setiap zarah udara yang kita sedut bahkan setiap pandangan yang kita lihat adalah kurniaan Allah. Tanpa kurniaan ini, kita tidak dapat mengunyah makanan atau meneguk minuman atau menyedut udara di sekeliling kita. Selagi kita hidup di mukabumi ini kita tidak sunyi dari menerima kurniaan ini. Begitulah penyayangnya ALLAH yang bersifat dengan Ar-RAHMAN. ALLAH menganugerahkan kurniaanNya kepada semua makhluk, sama ada yang taat kepadaNya atau sebaliknya. Maka mengapa kita mesti mendustakan kurniaan ini? ALLAH masih sayang  kepada hamba-hambaNya meskipun terlalu ramai yang tidak bersyukur di atas nikmat-nikmat itu. Sebanyak 31 kali di dalam Al-Quran, Allah mengulangi ayat di bawah sebagai amaran dan ingatan kepada kita supaya menilai semula sejauh mana kesyukuran kita terhadap nikmatNya.

(Yang mana satu di antara nikmat Tuhan yang kamu dustakan?)
Sebagai makhluk Allah, kita sewajibnya berasa prihatin atas kurniaan ini lalu mensyukuri atas segala nikmat tersebut. Rakaman kesyukuran bukanlah setakat mengucapkan 'alhamdulillah'. Ianya mesti dibuktikan dengan tindakan berdasarkan prinsip 'amal makruf, nahi munkar' atau buat yang disuruh dan tinggalkan yang dilarang. Ini dilakukan setiap masa secara konstan dan terus-menerus.
Malangnya terdapat ramai manusia yang lupa daratan dan lupa akan segala kurniaan ALLAH. Ramai yang tidak mendirikan solat dan segala amalan yang disuruh. Sebaliknya ramai pula yang engkar dan menentang suruhanNya dengan melakukan pelbagai jenis kemaksiatan. Allah Maha Mengetahui bahawa ramai di antara hambanya yang tidak bersyukur, seperti dalam firmanNya:

 (Sangat sedikit  daripada hamba-hambaKu yang bersyukur)
Kesimpulannya, sebagai menunjukkan rasa berterima kasih kita kepada ALLAH, kita hendaklah sentiasa mengabdikan diri kepada ALLAH dengan segala bentuk amalan ibadat di samping kita meninggalkan kerja-kerja maksiat. Semoga kita termasuk dalam golongan hamba-hambaNya yang bersyukur. Wallahua'lam. 


Ahad, 20 Julai 2014

Rumahku Syurgaku

Dari Jabir r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:"Apabila kamu telah menunaikan solat (wajib) di masjid, maka kerjakanlah pula solat (sunat) di rumah kerana dengan itu Allah akan menjadikan rumah itu bahagia." (al-Bukhari)

Huraian :
1. Rumahku syurgaku adalah rumahtangga yang mempunyai ciri-ciri keislaman yang sebenar boleh menyediakan persekitaran yang harmoni dan melahirkan kasih sayang, hormat menghormati serta pelaksanaan ibadah yang membawa kepada ketenangan dan ketenteraman.

2. Ada beberapa tempat, yang jika dilakukan ibadah di dalamnya, akan mendapat pahala dan keutamaan yang lebih besar berbanding dilakukan di tempat lain seperti solat di Masjidil Haram, setara dengan seratus ribu solat di tempat lain. Solat di Masjid Nabawi, setara dengan seribu solat di tempat lain dan solat di Masjid al-Aqsa, setara dengan lima ratus kali solat di tempat lain. Solat yang paling utama dilakukan di masjid itu adalah solat wajib. Sementara untuk solat sunat yang paling utama adalah jika dilakukan di rumah.

3. Waktu di rumah seharusnya diisi dengan perkara yang bermanfaat dan mendatangkan pahala kerana perhatian terhadap pembangunan rumah dan isi rumah merupakan perkara yang paling penting untuk membangun masyarakat muslim. Hal ini kerana sebuah masyarakat akan terbina daripada gabunagn isi rumah. Jika unsur dasarnya baik, maka akan kuatlah sesebuah masyarakat itu.

Elakkan Gambar-gambar Binatang

Dari Aisyah r.a katanya, dia membeli bantal-bantal kecil bergambar-gambar. Maka tatkala Rasulullah s.a.w melihat bantal-bantal tersebut baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu dari wajah baginda bahawa baginda tidak senang. Berkata Aisyah:"Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apakah kesalahanku? Rasulullah s.a.w kembali bertanya:"Bantal-bantal apakah itu?" Jawab Aisyah, "Aku membelinya sebagai tempat duduk anda atau tempat anda bersandar." Sabda Rasulullah s.a.w:"Pelukis gambar-gambar ini akan disiksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka:"Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!" Kemudian baginda bersabda:"Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu." (Muslim)

Berdoalah kamu untuk saudara islam

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yang berdoa bagi saudara Islamnya dengan tidak setahu saudaranya yang tersebut, berkatalah Malaikat yang ditugaskan untuk itu: "Aamin, dan engkau pula akan beroleh seperti itu juga." Abu ad-Darda' r.a

Huraian :
Pengajaran hadis:
i) Doa dari seorang Islam kepada saudara Islamnya yang lain dengan harapan semoga ia beroleh kebaikan atau terselamat dari bala bencana adalah dituntut oleh syarak sama ada setahu orang yang didoakan itu atau tidak.

ii) Sesungguhnya setiap kebaikan (doa) yang dipohon itu akan turut diaminkan oleh malaikat dalam erti kata agar doa itu dikabulkan oleh Allah S.W.T bahkan orang yang berdoa itu sendiri akan beroleh kebaikan yang sama sebagai menghargai keikhlasan hatinya mendoakan saudaranya itu.

Seringan-ringan Azab Di Neraka

Dari Ibnu Abbas r.a katanya: Raulullah SAW bersabda:"Seringan-ringan azab penduduk neraka ialah azab yang dideritai oleh Abu Talib. Dia memakai sepasang terompah yang membuatkan otaknya menggelegak." (Muslim)

Huraian :
1. Selama sembilan tahun selepas perlantikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Pesuruh Allah SWT, Nabi Muhammad SAW telah menjalankan dakwah di kalangan kaumnya sendiri di sekitar kota Mekah. Segelintir manusia sahaja yang telah memeluk agama Islam manakala yang lainnya mencuba dengan sedaya upaya untuk mengganggu dan menghalang baginda.

2. ABU TALIB merupakan seorang yang baik budi pekertinya, jujur dan mempunyai kesabaran yang tidak ada bandingannya bila menemui atau menghadapi sesuatu kesulitan atau cabaran hidup. Beliaulah yang memelihara nabi setelah kematian datuknya Abdul Muttalib. Baginda selalu dilindungi oleh bapa saudaranya ini daripada ancaman musuh dakwah baginda. Namun begitu di saat akhir kematiannya, Abu Talib tidak memeluk agama Islam.

3. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim dikatakan bahawa ketika Abu Talib, bapa saudara Rasulullah SAW dalam keadaan tenat, Rasulullah menghampirinya sedangkan ketika itu ada Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayah, Rasulullah mengajak Abu Talib mengucapkan "laailaah illallaah", namun Abu Jahal dan Abdullah memujuknya agar tetap mengikuti agama Abdul Muttalib. Demikian seterusnya berlaku hingga Abu Talib meninggal dunia tidak dalam keadaan beriman, lalu Rasulullah bersabda "Demi Allah aku akan meminta ampunan daripada Allah (untuknya) selagi tidak dilarang, lalu turunlah ayat surah Taubah:113-114 yangmaksudnya "Tiadalah sepatutnya bagi Nabi Muhammad dan orang-orang yang beriman meminta ampun kepada Allah bagi orang-orang musyrik, walaupun mereka itu adalah kaum kerabatnya, setelah jelas bagi mereka, bahawa orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka Jahannam. Dan keampunan yang dipohon oleh Ibrahim untuk bapanya, tidak lain hanyalah kerana suatu janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya. Tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah maka Ibrahim berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun."

4. Mendo'akan orang kafir yang masih hidup hukumnya harus, seperti yang dilakukan oleh Rasulullah ketika berhadapan dengan perlakuan buruk dari kaumnya yang musyrik, doa baginda:"Ya Allah tunjukkanlah kaumku kerana mereka tidak mengetahui" dan Rasulullah juga pernah berdoa agar Umar memeluk Islam hingga akhirnya dikabulkan oleh Allah. Namun begitu mendoakan orang kafir yang telah meninggal dan diketahui ia meninggal dalam keadaan kafir, hukumya haram seperti yang dijelaskan dalam ayat di atas.

Di Atas Hamparan Sejadah

Nabi s.a.w bersabda: "Malaikat sentiasa berdoa untuk seseorang kamu selama ia berada di tempat yang ia sembahyang padanya, selagi ia tidak berhadas, iaitu mereka memohon dengan berkata: "Ya Tuhan kami! Ampunilah dosanya, ya Tuhan kami! Berilah rahmat kepadanya." Abu Huraiarah r.a

Huraian :
Pengajaran Hadith:

i) Sembahyang (solat) dan tempat solat mempunyai nilai yang sangat besar di sisi Allah S.W.T.

ii) Orang yang tidak segera meninggalkan tempat ia bersolat selagi ia tidak berhadas dan tidak melakukan perkara yang mendatangkan dosa akan sentiasa didoakan oleh malaikat agar diampuni dosanya dan diberikan rahmat kepadanya.

iii) Islam menyeru umatnya agar sentiasa menjaga solatnya dan mengerjakannya dengan sempurna kerana hanya mereka yang benar-benar layak sahaja akan mendapat rahmat dan keampunan daripada Allah S.W.T.

5 Kunci Rahsia

Dari Ibnu Umar r.a, dari Nabi SAW baginda bersabda:"Lima kunci perkara ghaib, tidak mengetahuinya melainkan Allah iaitu: 1) Tiada mengetahui apa yang tersimpan di dalam rahim (kandungan perempuan) melainkan Allah. 2) Tiada yang mengetahui apa yang akan terjadi esok hari melainkan Allah. 3) Tiada seorangpun yang mengetahui bila waktunya hujan akan turun melainkan Allah. 4) Tiada seorangpun mengetahui di negeri mana dia akan mati melainkan Allah 5) Tiada yang mengetahui bila kiamat akan terjadi melainkan Allah. (Bukhari)

Huraian :
Pemilik ilmu itu adalah Allah SWT. Tiada sesuatupun yang luput dari pengetahuan-Nya, yang nampak mahu pun yang tersembunyi di mana manusia dan makhluk lainnya tidak diberi ilmu oleh Allah SWT melainkan hanya sedikit sahaja. Ilmu manusia jika dibandingkan dengan ilmu Allah ibarat setitik air dalam lautan. Firman Allah yang bermaksud:" "Katakanlah : kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku meskipun Kami datangkan lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan." (al-Kahfi :109)

Puasa Sehari Dijauhkan Dari Neraka 70 000 Musim

Dari Abu Sa'id al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:"Setiap orang yang puasa satu hari kerana Allah, maka Allah akan menjauhkannya dari neraka sejauh 70 000 musim." (Muslim)

Huraian :
Dilihat secara terperinci, kita dapati orang yang berpuasa itu dapat dibahagikan kepada tiga golongan iaitu:
i) orang berpuasa kerana malu kepada Allah dan manusia.
ii) orang yang berpuasa kerana malu kepada manusia tetapi tidak malu kepada Allah.
iii) orang yang langsung tidak berpuasa kerana tidak malu kepada Allah dan manusia.

Orang yang berpuasa kerana malu kepada Allah dan manusia, puasa mereka adalah berdasarkan kepada perasaan sedar dan insaf kepada perintah Allah S.W.T yang mewajibkan berpuasa. Golongan ini akan sentiasa berhati-hati dan sentiasa menjaga puasanya daripada perkara yang boleh membatalkan puasa. Oleh kerana itu, di mana-mana tempat sekali pun, sama ada di tempat tersorok atau tidak, mereka tetap memelihara puasanya. Golongan ini sedar bahawa Allah tetap melihat perbuatan mereka walaupun mereka tidak dapat melihat Allah.

Tentang golongan kedua pula, mereka ini berpuasa semata-mata kerana malu kepada manusia tetapi tidak malu kepada Allah. Lantaran itu, apabila berada jauh daripada pandangan manusia, tanpa segan-silu mereka meninggalkan puasa. Golongan ini berpuasa bukan kerana taat dan patuh kepada perintah Allah tetapi kerana malu kepada manusia lain yang berpuasa. Biasanya orang yang seperti ini berpuasa kerana hendak menunjuk-nunjuk atau riak. Mereka tidak mempunyai sifat amanah kepada Allah mahupun pada diri sendiri.

Golongan ketiga ialah mereka yang langsung tidak berpuasa kerana tidak malu kepada manusia apatah lagi kepada Allah. Golongan ini dianggap paling hina di sisi Allah. Bahkan ada ketikanya mereka ini sanggup mengaku sebagai orang bukan Islam agar terlepas daripada hukuman dan tindakan pihak berkuasa. Mereka tidak sedar bahawa pengakuan itu boleh membatalkan syahadah.

Menyedari hakikat ini, renungkanlah. Dalam golongan manakah kita berada?

Lalat Dan Penyakit; Rasulullah Dan Saintis

Dari Abi Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: " "Apabila lalat jatuh ke dalam minuman salah seorang di antara kamu maka rendamkanlah lalat itu kemudian buanglah. Kerana pada salah satu sayapnya terdapat penyakit dan pada sayap yang lain terdapat ubat." Riwayat al-Bukhari

Huraian :
Islam menghendaki kita supaya menjaga kebersihan bukan sahaja pada pakaian dan tempat tinggal malah pada makanan dan juga minuman. Rasulullah SAW amat menitikberatkan hal ini sehinggakan apabila seekor lalat pun yang memasuki makanan atau minuman, baginda menyuruh kita berwaspada terhadap penyakit yang bakal menimpa seperti keracunan makanan dan sebagainya. Apa yang disebutkan di dalam hadis di atas telah pun dibuat kajian oleh para saintis pada zaman kemudiannya. Contohnya pada tahun 1871, Prof. Brefild, Ilmuwan Jerman dari Universiti Hall menemui mikroorganisma jenis Fitriat yang diberi nama Ambaza Mouski dari golongan Antomofterali. Mikroorganisma ini hidup di bawah tingkat zat minyak di dalam perut lalat. Ambaza Mouski ini berkumpul di dalam sel-sel sehingga membentuk kekuatan yang besar. Kemudian sel-sel itu akan pecah dan mengeluarkan sitoplasma yang dapat membunuh kuman-kuman penyakit. Sel-sel tersebut terdapat di sekitar bahagian ke tiga dari tubuh lalat, iaitu pada bahagian perut dan ke bawah. Kemudian pada tahun 1947, Ernestein seorang Inggeris juga menyelidiki Fitriat pada lalat ini. Hasil penyelidikannya menyimpulkan bahawa fitriat tersebut dapat memusnahkan pelbagai bakteria. Tahun 1950, Roleos dari Switzerland juga menemui mikroorganisma ini dan memberi nama Javasin. Para peneliti lain iaitu Prof. Kock, Famer (Inggeris), Rose, Etlengger (German) dan Blatner (Switzerland) melakukan penyelidikan dan membuat kesimpulan yang sama tentang mikroorganisma pada lalat sekali gus membuktikan bahawa pelbagai penyakit dan bakteria pada lalat hanya terdapat pada hujung kakinya saja dan bukan pada seluruh badannya. Justeru mikroorganisma yang dapat membunuh kuman itu tidak dapat keluar dari tubuh lalat kecuali setelah disentuh oleh benda cair. Cairan ini dapat menambah tekanan pada sel-sel yang mengandungi mikroorganisma penolak kuman sehingga pecah dan memercikkan mikroorganisma istimewa ini. Maka adalah ternyata bahawa apa yang dikatakan oleh Rasulullah adalah benar iaitu saranan baginda kepada kita agar menenggelamkan lalat terlebih dahulu ke dalam air bagi mengeluarkan mikroorganisma penolak kuman dari badan lalat tersebut, dalam erti kata bahawa badannya harus dibasahkan sebelum membuangnya dan air yang menjadi tempat pendaratan lalat tadi dapat diminum dengan selamat. Subhanallah betapa hebatnya junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.